Aura Wan Rohaimi serlah karakter PDRM

Wan Rohaimi
Wan Rohaimi
A
A
A

KEHADIRAN Wan Rohaimi Wan Ismail selaku ketua jurulatih sejak 31 Mac lalu nyata berjaya memulihkan semula cabaran PDRM FC yang berjaya bangkit daripada permulaan prestasi hambar di awal musim.

Daripada berada dalam kalangan dua pasukan tercorot sebelum ini, PDRM berjaya mendaki ke kedudukan kelapan malah berjaya mencuri perhatian ramai pihak apabila mengejutkan pendahulu, Sarawak United FC 2-0 pada aksi kesembilan Liga Premier.

Biarpun ini merupakan pengalaman pertama kali pengendali berusia 45 tahun terbabit di kancah Liga Malaysia, Wan Rohaimi dilihat sudah mempunyai potensi menjadi antara pelapis jurulatih tempatan yang boleh diketengahkan di masa akan datang.

Jelas Wan Rohaimi, beliau sangat bersyukur kerana kesempatan serta kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan setakat ini berjaya dibalas dengan beberapa keputusan positif namun merasakan masih banyak perkara perlu diperbaiki jika PDRM mahu melangkah jauh.

“Bola sepak Malaysia ini semuanya berkaitan dengan pengalaman dan itu sentiasa menjadi perhatian utama mana-mana pengurusan pasukan dalam mendapatkan khidmat jurulatih tempatan.

“Jadi, apabila mendapat peluang sebegini, saya akan cuba guna sebaik mungkin untuk buktikan kemampuan dan syukur kerana segala perkembangan di sini tampak amat baik sejak hari pertama datang ke sini.

“Dua kemenangan yang diraih adalah permulaan yang baik walaupun kita ada mencatat dua kekalahan namun persembahan pasukan yang paling penting dan mereka boleh bermain dengan cara saya inginkan.

“Saya seolah-olah telah bermula kepada kosong terhadap semua pemain apabila kembali kepada perkara asas dalam bola sepak, nyata pemain boleh sesuaikan diri dengan cepat biarpun saya tidak ada banyak masa ekoran jarak antara perlawanan hanya 3-4 hari sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Tahap mentaliti pemain juga saya perhatikan tidak sampai untuk bermain di Liga Premier dan ini juga aspek saya telah ubah sebelum membetulkan aspek-aspek lain seperti corak latihan dan taktikal,” katanya.

Wan Rohaimi bekas pemain kebangsaan pada 1999 hingga 2006 serta dikenali ramai sebagai pemain serba boleh kerana boleh beraksi selaku penyerang, pemain tengah dan pertahanan ketika beraksi bersama beberapa pasukan terkemuka Liga Malaysia seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Johor FC dan Pulau Pinang.

Dia pernah dilantik menjadi ketua jurulatih Tumpat FA di saingan Liga FAM pada tahun 2013 sebelum mengembangkan karier kejurulatihan di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selama empat tahun (2014-2018) dan merupakan ketua jurulatih Piala Presiden Pulau Pinang pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Wan Rohaimi melaungkan keyakinan yang pasukannya mampu mendapatkan slot ke Piala Malaysia musim ini selain cuba memberikan tekanan kepada kelompok pasukan teratas setelah melakukan sedikit rombakan dalam pasukan.

“Jurang kami dengan pasukan teratas masih tidak terlalu jauh dan peluang layak ke Piala Malaysia masih ada dan harap sebaik liga bersambung nanti, kami akan merapatkan jurang sedia ada.

“Justeru, kami ada mendapatkan beberapa pemain tempatan baharu bagi perkuatkan cabaran pasukan dengan dua dari Penang iaitu Nurfais Johari dan Azrie Reza selain Saiful Hasnol, yang pernah beraksi dengan UKM sebelum ini.

“Manakala untuk import, kami melepaskan pertahanan, Victor Kamhuka dan sudah mendapatkan seorang pemain di barisan hadapan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.