Miliki rumah menerusi projek Rumah Peduli

Adly ketika ketika sidang media majlis mesyuarat Exco di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada golongan miskin tegar untuk memiliki kediaman sendiri menerusi projek Rumah Peduli yang akan dibangunkan sebelum pertengahan tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, projek yang dirancangkan untuk membina sebanyak 60 unit rumah yang berharga RM30,000 bagi setiap unit itu memberi keutamaan kepada golongan berkenaan yang memiliki tanah namun tidak berkemampuan untuk membina rumah menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM3 juta setahun.

Menurutnya, setakat ini ia dalam proses dimuktamadkan oleh Jabatan Kerja Raya dari segi reka bentuk rumah dan ia akan diseliakan oleh jabatan berkenaan selain di bawah perhatian Exco Wanita Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginnie Lim.

Katanya, jawatankuasa Lembaga Perumahan Melaka turut berperanan untuk membuat pemilihan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dapat dibantu termasuk pemilihan bagi calon projek Rumah Berkat yang akan dimulakan di Pokok Mangga bermula April depan.

"Rumah Peduli kepada mereka yang mempunyai tanah dan miskin tegar, ada tanah tapi tidak berkemampuan untuk bina rumah.

"Sebanyak 30 buah Rumah Berkat akan dimulakan dengan kadar sewa RM150 sebulan dan tempoh sewa maksimum selama 3 tahun, setakat ini kita telah menerima 40 permohonan dan akan buat penilaian terutama kumpulan sasar iaitu golongan belia yang baharu berkahwin berumur bawah 35 tahun," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang media majlis mesyuarat Exco di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adly berkata, beliau akan menyusun dan mengklafikasikan jenis-jenis perumahan di negeri dengan lebih sistematik bermula dengan harga RM42,000 bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana melebihi RM80,000, Rumah Harapan RM80,000 hingga RM100,000, Rumah Belia RM162,000 dan Rumah Mampu Milik dari RM100,000 hingga RM180,000 termasuk bagi golongan M40.

"Kategori rumah berkenaan disusun semula supaya hasrat kerajaan negeri untuk membantu rakyat benar- benar tercapai dan dapat direalisasikan," katanya.