Menteri tak sepakat isyarat perlu 'kerajaan darurat'

Mesyuarat Kabinet yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
Mesyuarat Kabinet yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu ketidaksepakatan yang tercetus dalam kalangan menteri-menteri kabinet sewaktu menguruskan krisis pandemik Covid-19 mungkin isyarat jelas sebuah kerajaan darurat perlu diwujudkan dalam masa terdekat.

Pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Salleh Buang berkata, penubuhan sebuah kerajaan darurat boleh dilaksanakan melalui bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 2021).

Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh menjadikan sejarah pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) 1969 sebagai asas bagi pembentukan sebuah kerajaan darurat, namun sedikit penambahbaikan perlu dibuat selaras dengan keperluan semasa.

Ujarnya, isu penentuan polisi yang bersifat 'flip-flop' oleh kerajaan PN dalam membuat keputusan mutakhir untuk rakyat, terutama pada saat pandemik Covid-19 semakin membarah, juga petanda jelas keperluan kerajaan sedia ada 'direhatkan'.

Dr Salleh Buang
Dr Salleh Buang

"Perlembagaan Persekutuan boleh memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih kuasa diberikan kepada rakyat dengan menubuhkan Mageran 2.0 mengikut Perkara 150, Ordinan Darurat.

"Namun penambahbaikan diperlukan untuk menubuhkan Mageran 2.0 dengan jawatan pengerusi majlis itu mungkin tidak lagi diwajibkan dalam kalangan pemimpin politik susulan golongan itu, tidak kira daripada parti mana sekalipun, kini berdepan defisit kepercayaan rakyat.

"Sebaiknya Yang di-Pertuan Agong melantik seorang tokoh berpengalaman, berintegriti dan negarawan dihormati semua pihak untuk mengepalai majlis khas itu dengan semua anggota dipilih perlu bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus isu ketidaksepakatan antara menteri-menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu membincangkan permohonan bagi kebenaran syarikat-syarikat untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 'total lockdown' ketika ini.

Spekulasi itu timbul apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohammad Azmin Ali didakwa tidak sependapat dan tegang dalam satu mesyuarat kabinet, sebelum ini.

Hal ini susulan tindakan saat akhir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengawal permohonan bagi kebenaran kilang-kilang untuk beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh PKP, termasuk kebenaran syarikat arak beroperasi yang kemudiannya diarahkan tutup oleh Ismail Sabri.

Perbalahan juga dipercayai menyebabkan Ismail Sabri menaikkan hantaran memaparkan gambarnya sedang menutup pintu pejabat, diiringi dengan kata-kata "Saya dah tutup pintu depan tapi...” disertai dengan emoji sedih di laman Facebooknya, pada Rabu.

Sebelum itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan penubuhan kerajaan darurat dalam masa terdekat, berikutan keadaan Covid-19 di Malaysia yang semakin meruncing.

Menurutnya, kerajaan darurat tidak semestinya dianggotai ahli politik sebaliknya jawatan dalam kerajaan itu boleh diisi individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.

Tegasnya, semua parti politik harus bekerjasama untuk merealisasikan perkara itu kerana keutamaan sekarang adalah rakyat dan negara, dan politik perlu diketepikan.

Sementara itu, Salleh menegaskan pembentukan kerajaan darurat ala Mageran 2.0 juga merupakan peluang keemasan kepada kerajaan melakukan pembetulan kepada asas negara.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu itu berpendapat agak sukar sebuah kerajaan baharu dibentuk pada ketika ini meskipun ramai berpandangan Yang Di-Pertuan Agong mempunyai bidang kuasa melakukan apa sahaja berlandaskan Ordinan Darurat.

Dr Shamrahayu
Dr Shamrahayu

"Berbeza dengan Mageran 1969 apabila kerajaan ketika itu terbubar dengan sebuah kerajaan sementara diwujudkan, kerajaan PN ketika ini masih lagi dianggap sah dari segi Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, saya setuju satu entiti bebas politik perlu diwujudkan bagi menfokuskan usaha menangani sepenuhnya pandemik Covid-19 kerana rakyat berdepan defisit kepercayaan terhadap pemimpin politik dari semua parti.

"Kerajaan sedia ada pula perlu mematuhi setiap polisi atau cadangan dikemukakan entiti bebas berkenaan dengan satu ordinan darurat perlu digubal Yang di-Pertuan Agong bagi menjamin penubuhan dan fungsi entiti berkenaan," katanya.