Dua pusat vaksin diluluskan CITF Persekutuan di Muar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor menegaskan hanya dua pusat yang diluluskan CITF Persekutuan sebagai Pusat Vaksin di daerah Muar iaitu di Dewan Maharani dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Ia sekaligus menjawab dakwaan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan tidak diwujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang diwakili oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

CITF Johor dalam kenyataannya berkata, mesyuarat CITF Negeri Johor pada 25 April 2021 telah memaklumkan bahawa hanya Dewan Maharani dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang diluluskan.

"Keputusan itu adalah berdasarkan syarat yang telah ditetapkan oleh CITF Persekutuan, iaitu sesebuah PPV boleh dibuka jika mempunyai sasaran jumlah pendaftaran vaksinasi di sesuatu kawasan dengan 8,000 orang di dalam radius 10 kilometer.

"bagaimanapun pentadbiran daerah menerusi Pejabat Kesihatan Daerah juga telah mengambil inisiatif dan memohon pembukaan sebuah PPV di Pagoh bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan Parlimen Pagoh atas faktor jarak dan pengangkutan.

"Susulan itu, pada 11 Mei 2021, Dewan Serbaguna Pagoh telah diluluskan sebagai PPV (bukan kesihatan) kedua di daerah Muar," menurut kenyataan itu.

Jelasnya, janji temu pertama ditetapkan pada 6 Jun ini dan lawatan ke tapak penyelarasan bagi pembukaan tersebut telah diadakan pada 31 Mei lalu melibatkan pelbagai jabatan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Bagi PPV di Bukit Gambir yang telah dicadangkan untuk dibuka di Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir, telah mula beroperasi pada 1 Jun lalu dengan jumlah kakitangan yang terlibat dari pelbagai agensi seramai 45 orang.

Artikel Berkaitan:

"Pembukaan PPV Bukit Gambir pada hari pertama telah menerima kehadiran 150 orang awam untuk suntikan pertama manakala 408 orang lagi akan menerimasunt ikan pertama pada 6 Jun dan 8 Jun ini.

"CITF Negeri Johor akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkepentingan termasuk dengan CITF di peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk meningkatkan kapasiti vaksinasi pada kadar optimum bagi memastikan imuniti kelompok di seluruh negeri Johor dapat dicapai secepat mungkin," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir serta kerajaan Johor sentiasa bekerjasama dengan mengutamakan kepentingan, kebajikan dan kesihatan rakyat supaya terjamin pada setiap masa.

CITF Johor turut meminta semua pihak, sama ada wakil rakyat kerajaan mahupun PH serta rakyat supaya sentiasa berganding mahu memerangi pandemik Covid-19.