Kerajaan kaji pelaksanaan sidang Parlimen hibrid

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan sidang Dewan Parlimen secara hibrid melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Mesyuarat yang diadakan secara maya pada hari ini bersama kedua-dua Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang DiPertua pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid ini yang berasaskan penyertaan ahli-ahli Parlimen secara fizikal dan juga dalam talian," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan antara perkara yang turut dibincangkan.

"Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri," katanya.

Sebelum ini, timbul desakan pelbagai pihak termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said agar Parlimen kembali bersidang dengan cadangan pelaksanaan secara maya.

Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan kembali mulai 2 November hingga 15 Disember depan setelah kali terakhir bersidang Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan: