PKPD di beberapa lokaliti di Perak, Pahang dan Sabah

PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Perak, Pahang dan Sabah berkuat kuasa Ahad ini hingga 19 Jun.
PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Perak, Pahang dan Sabah berkuat kuasa Ahad ini hingga 19 Jun.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan pada Jumaat mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di beberapa lokaliti di Perak, Sabah dan Pahang bermula Ahad hingga 19 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Perak membabitkan enam lokaliti sekitar Kinta, Kerian, Manjung, Matang dan Selama serta Hulu Perak.

Ismail Sabri
Ismail Sabri

Menurut beliau, lokaliti itu meliputi Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2; Taman Kerian Tambahan; tiga perkampungan Batu 9 Lekir iaitu Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong; serta Taman Berkat.

“Selain itu, dua kampung dalam mukim Pengkalan Hulu iaitu Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, manakala dua kampung dalam mukim Kerunai iaitu Kampung Alai dan Kampung Baharu.

“Justeru, pelaksanaan PKPD ini memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan PKPD di Sabah, ia melibatkan tiga lokaliti dalam daerah Papar iaitu Kampung Gusi Kinarut, Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni.

“PKPD juga dilaksanakan di Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9, Fasa 7 Taman Mawar, Sandakan; Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, di Pahang turut dikenakan PKPD iaitu di bandar Bentong.

“Ia membabitkan 14 lokaliti iaitu di Kampung Chamang Lama dan Baru; Taman Bukit Chamang; Kawasan Perindustrian Bentong; Kampung Baru, Taman Saga dan Taman Bukit Indah; Kampung Sungai Marong; Taman Bukit Bentong; Taman Hussin dan Taman Syahbandar; Kampung Perting, Kampung Kemansur dan Kampung Kuala Repas; Bentong Heights; Rumah Murah Batu 1 dan PPRT Batu 1; Taman Bentong Makmur; Taman Harmoni; Taman Kolej serta Taman Desa Damai.

“Sejak 17 Mei sehingga 31 Mei, sebanyak 209 kes positif telah dilaporkan sekitar bandar Bentong selepas ujian saringan dijalankan ke atas seramai 914 orang penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Rumah Panjang Nyalu anak Francis, Mukah, Sarawak; Felda Kahang Timur, Kluang, Johor serta Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau, Mukah, Sarawak bermula Sabtu lebih awal daripada tarikh asal.

Katanya, penamatan sekatan itu turut membabitkan Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka; Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur; tiga perkampungan di mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan; asrama pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill dan asrama pekerja Kilang Purnabina, Kluang, Johor serta Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau, Sabah juga bermula Sabtu sebagaimana dijadualkan.

Ismail Sabri berkata, seramai 792 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada Khamis.

“Daripada jumlah ini, seramai 924 individu dikompaun, manakala 22 lagi direman,” katanya.