Cubaan lelaki larikan diri di SJR gagal, 14kg daun ketum dirampas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Cubaan seorang lelaki melarikan diri ketika pemeriksaan polis ke atas kereta yang dipandunya gagal selepas suspek berjaya diberkas hampir 30 kilometer dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Mufti Haji Khalil, berhadapan Hospital Melaka, di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 26 tahun yang merupakan seorang peniaga itu, ditahan bersama empat bungkus plastik berwarna hitam mengandungi daun dipercayai ketum dengan anggaran berat kira-kira 14 kilogram (kg), selepas kereta Toyota Unser berkenaan terbabas di susur Jalan Salim, Sebatu di Merlimau, Jasin pada 8.30 malam.

“Dalam pemeriksaan itu, suspek datang dari arah Jalan Tun Razak menghampiri SJR yang dilaksanakan sebelum berhenti namun ketika anggota polis bertugas mahu melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandunya, suspek bertindak memecut laju kereta berkenaan untuk melarikan diri.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas kenderaan berkenaan menemui empat bungkus plastik berwarna hitam mengandungi daun dipercayai ketum,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang beralamat di Merlimau, Jasin di sini dipercayai membawa masuk daun ketum berkenaan dari luar Melaka untuk pasaran di negeri itu.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki daun ketum, serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Afzanizar berkata, kompaun berjumlah RM1,500 turut dikeluarkan di bawah Peraturan 4 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), kerana merentas daerah tanpa alasan munasabah dan tanpa surat polis. - Bernama

Artikel Berkaitan: