Penipuan dalam talian catat lebih setengah juta kerugian

Gambar hiasan.- Foto 123RF
Gambar hiasan.- Foto 123RF
A
A
A

MELAKA -Sebanyak 93 kes penipuan urusan belian dalam talian membabitkan kerugian RM769,986.58 dilaporkan di negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, daripada jumlah itu, 40 kes penipuan menerusi Facebook dengan kerugian RM479,509.73, diikuti 30 kes di Instagram dengan kerugian RM115,383.75.

Beliau berkata, sebanyak 15 kes lagi berlaku menerusi aplikasi mudah.my (RM77,020), empat kes di WhatsApp (RM80,550), dua kes menerusi Shopee dengan kerugian RM4,900 manakala masing-masing satu kes penipuan di Google dan Lazada membabitkan kerugian RM6,623.10 dan RM6,000.

"Berdasarkan rekod, mangsa yang ditipu terdiri daripada ahli perniagaan, pesara, peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta, bekerja sendiri dan pelajar.

"Daripada segi umur pula, 31 mangsa berusia lingkungan antara 31 hingga 40 tahun, 21-30 tahun (29 orang), 41-50 tahun (13 orang), lebih 51 tahun (10 orang), 15 hingga 20 tahun (sembilan orang) dan 15 tahun ke bawah (seorang)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kes jenayah siber dan penipuan yang dilaporkan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Antara kes tersebut ialah penipuan dalam talian memandangkan tabiat berbelanja rakyat negara ini telah berubah terutamanya sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, Sundra menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penjualan barangan dalam talian khususnya yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran kerana mereka mungkin menjadi mangsa penipuan.

"Sentiasa buat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang urusan," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: