Covid-19: Ahli Parlimen PNBBC setuju sumbang 30 peratus elaun

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) hari ini bersetuju menyumbangkan 30 peratus daripada elaun bulanan mereka ke dalam Akaun Amanah Bencana Covid-19 bagi tempoh tiga bulan.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan itu dibuat atas rasa keprihatinan dan tanda sokongan bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Menjadi harapan kami agar sumbangan yang sedikit ini dapat membantu dan meringankan bebanan kewangan mereka yang memerlukan dan meneruskan usaha-usaha untuk menentang Covid-19. Perkhidmatan kami kepada rakyat berterusan di Parlimen dan negara,” kata Ahli Parlimen Arau itu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri serta timbalan menteri tidak akan mengambil elaun mereka selama tiga bulan mulai Jun, yang akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengumumkan lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 melalui pengurangan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) serta Imbuhan Tetap Keraian (ITK) selama tiga bulan berdasarkan gred perkhidmatan.

Bagaimanapun bagi ahli Parlimen pembangkang, rata-rata menyatakan bahawa mereka mempunyai cara tersendiri untuk membantu rakyat yang terjejas oleh Covid-19, antaranya menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat di kawasan masing-masing menggunakan elaun bulanan yang diterima mereka.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, ini memandangkan ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan yang besar seperti ahli Parlimen kerajaan.

“Kami memang menggunakan gaji kami untuk diberi terus kepada rakyat, kami tidak ada peruntukan macam ahli Parlimen kerajaan. Malah kami juga terpaksa bayar sewa pejabat dan gaji petugas pusat khidmat kawasan,” kata Ketua Whip DAP itu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Labuan yang juga Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Rozman Isli turut berkongsi pandangan sama dan menyatakan beliau menggunakan elaunnya bagi membantu rakyat yang bersilih ganti datang memohon bantuan segera atau peribadi bagi kegunaan kecemasan.

“Sekarang setelah lebih setahun dilanda pandemik ini, semakin bertambah keluarga yang susah, saya menerima puluhan teks dan panggilan setiap hari dan saya sedar bantuan yang mereka terima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis menyatakan jika gaji atau elaun bulanan ahli Parlimen pembangkang turut dipotong, langkah tersebut dikhuatiri akan menyukarkan usaha mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing secara langsung.

“Kita survive dengan apa yang ada. Walaupun saya tidak umum apa saya lakukan dengan elaun saya, tapi lebih 70 peratus saya gunakan untuk Parlimen saya dengan memberi bantuan bakul makanan dan bantuan kebajikan lain mana yang saya mampu,” katanya, menambah keengganan dipotong gaji tidak bermakna mereka tidak mahu menyumbang. - Bernama