Berhenti tuding jari, muhasabah diri: Raja Zarith Sofiah

RAJA ZARITH SOFIAH
RAJA ZARITH SOFIAH
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mencadangkan dua perkara konstruktif yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat menangani pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, rakyat perlu bersatu dalam membantu petugas barisan hadapan dan membantu mereka yang hidup dalam kesusahan.

"Keluarga saya akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan atau bergaji kecil yang kadang-kala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah.

"Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang tetapi kami tetap cuba membuat yang terbaik," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), pada Jumaat.

Permaisuri Johor itu bertitah, hospital merupakan entiti yang paling terkesan sehingga ada kontena yang terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain.

"Apa salahnya kita tunjukkan penghargaan walaupun sedikit atas segala pengorbanan mereka (petugas barisan hadapan) menyelamatkan pesakit," titah baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah, pandemik itu menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan kurang bernasib baik serta melihatkan mereka yang sudi membantu dengan yang selesa di belakang papan kekunci masing-masing mencari kesalahan tidak berkesudahan.

"Kita mesti sedar bahawa kita semua mempunyai peranan. Pokok pangkalnya, pepatah lama 'bersatu teguh, bercerai roboh' tetap terpakai dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, ramai sekarang ini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan ekoran peningkatan jumlah kes dan kematian Covid-19 yang mendadak sehingga dikuatkuasakan 'total lock down'.

Jelas Raja Zarith Sofiah, ketakutan, tekanan dan kemarahan telah membangkitkan pelbagai reaksi masyarakat termasuk menuding jari menyalahkan pelbagai pihak daripada orang awam, pengusaha restoran, pegawai kerajaan malah institusi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah, rakyat perlu berhenti menyalahkan mana-mana pihak atau cuba menunjukkan mereka lebih mengetahui daripada orang lain.

"Tiba-tiba pakar pengurusan ekonomi dan pandemik muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan tiada satu pihak pun yang terlepas daripada dipersalahkan dalam keadaan pandemik kini.

"Persoalan yang ingin saya lontarkan, adakah menuding jari secara berterusan kepada individu atau pihak berkuasa akan membantu mengurangkan kes Covid-19?

"Jika jawapannya tidak, saya menyeru kepada yang berkemampuan membantu hospital-hospital kita atau mereka yang ditimpa kesusahan dalam apa juga cara," titah Raja Zarith Sofiah lagi.

Titah baginda, rakyat mesti menerima hakikat bahawa peningkatan mendadak kes Covid-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun rakyat Malaysia berhak mengkritik dan mempersoalkan keputusan kerajaan, rakyat juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan mereka sendiri.

"Bukan semua dalam kalangan kita merupakan pakar perakaunan, ekonomi atau perubatan bertauliah yang kemahirannya diperlukan dalam pengurusan pandemik. Hakikatnya, tiada siapa pun dalam dunia ketika ini mempunyai pengalaman dalam pengurusan pandemik pada skala yang dihadapi sekarang.

"Sememangnya 'trend' kebebasan bersuara kini cukup mudah disalahgunakan dengan mengkritik atau mengejek orang lain di sebalik papan kekunci dan identiti yang tersembunyi," titah Raja Zarith Sofiah.