14 ditahan gara-gara ditegur rakam pertengkaran suami isteri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jinjang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul. Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 54 tahun itu ditahan, selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 11 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada tindakan sekumpulan lelaki yang merakam video pertengkaran sepasang suami isteri, yang tinggal di flat berkenaan.

“Kejadian disedari pasangan tersebut dan lelaki (suami) telah menegur perbuatan merakam video itu, namun tegurannya berakhir dengan pertengkaran antara mereka serta mengeluarkan kata-kata kesat, tolak-menolak dan pergelutan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Eng Lai berkata, semakan mendapati 11 daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, manakala selebihnya tiada rekod jenayah.

Katanya, 10 suspek direman selama empat hari, manakala empat lagi direman satu hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, kerana merusuh menggunakan senjata dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu, diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206.

Terdahulu, tular di laman sosial hari ini memaparkan beberapa video kejadian sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah rumah, ada antara mereka menendang pintu rumah selain berlaku pertengkaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: