Kerjasama parti pembangkang antara isu perbahasan AMK esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama parti-parti pembangkang adalah antara tujuh usul utama perbahasan dalam persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) esok.

Pengerusi Sekretariat Kongres AMK 2020, Syukri Razab berkata, isu lain yang akan dibahas dan menjadi perhatian ialah pandemik Covid-19, program vaksinasi kebangsaan, masalah ekonomi anak muda serta pendidikan dalam fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, seramai 800 perwakilan AMK seluruh negara dijangka menyertai persidangan tahunan itu yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Seperti tradisi, Kongres AMK akan dimulakan dengan ucapan dasar Ketua AMK Akmal Nasir dan diikuti dengan perbahasan ucapan dasar dan usul oleh perwakilan-perwakilan negeri. Persidangan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook AMK dan Akmal Nasir,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kongres tahunan PKR yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad, dimulakan dengan persidangan sayap Wanita hari ini, diikuti AMK esok dan pada Ahad ini Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, dijangka menyampaikan ucapan dasar. - Bernama

Artikel Berkaitan: