Wanita PKR saran tiada lagi kerjasama dengan Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang perwakilan wanita PKR mencadangkan supaya parti itu tidak menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya telah menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) awal tahun lalu.

“Sejarah tak mungkin terpadam apabila beliau tanpa budi bicara telah meletak jawatan yang menyebabkan keruntuhan PH yang memang menjadi harapan kepada rakyat. Selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah, hampir dua tahun PH memerintah dan kini Perikatan Nasional (PN).

“Dua tahun singkat untuk kita membuat pembaharuan dan tidak cukup untuk melaksanakan seluruh agenda reformasi,” Ketua Wanita PKR Perak Junaida Jamaludin pada sesi perbahasan usul ucapan dasar ketua wanita pada Kongres Wanita Nasional 2020 bersempena Kongres Nasional PKR 2020 hari ini.

Pada 24 Februari tahun lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Bersatu.

Senada dengan Junaida ialah perwakilan Melaka Fadillah Mohd Salleh yang memberi peringatan dan teguran kepada seluruh ahli serta kepimpinan parti agar mengambil iktibar daripada peristiwa kejatuhan PH, tidak dibuai mimpi semasa kejayaan sehingga terleka daripada membantu rakyat.

"Sikap ketidaksamaratan tidak perlu wujud dalam parti selain sikap pilih kasih juga menyebabkan perbezaan pendapat disalah erti sehingga ada yang disabotaj,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang Marina Shafiee pula mencadangkan supaya calon hanya dibenarkan bertanding satu kerusi sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita PKR Cawangan Bukit Mertajam itu berkata, cadangan berkenaan bertujuan untuk membolehkan setiap calon yang terpilih sebagai wakil rakyat dapat memberikan perkhidmatan dengan lebih berfokus, berkesan dan membolehkan kebajikan rakyat boleh ditadbir urus dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa sama mencadangkan supaya 30 peratus daripada pendapatan parti dapat disalurkan kepada sayap itu untuk membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Seramai 15 pembahas, 14 mewakili negeri dan seorang pembahas mewakili Srikandi membahaskan ucapan dasar berkaitan pendidikan, alam sekitar, keganasan berasaskan gender dan juga hal ehwal antarabangsa.

Semasa sesi penggulungan Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh berkata seramai 369 daripada 656 perwakilan yang layak telah menyertai Kongres Nasional Wanita PKR 2020 sekali gus mencukupi syarat korum kongres tersebut yang buat julung kalinya diadakan secara maya itu. -Bernama