Malaysia Airlines kurangkan operasi, fokus penerbangan penting

Malaysia Airlines akan mengehadkan operasinya dengan pengurangan 85 peratus di seluruh rangkaian penerbangannya semasa PKP 3.0.
Malaysia Airlines akan mengehadkan operasinya dengan pengurangan 85 peratus di seluruh rangkaian penerbangannya semasa PKP 3.0.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd akan mengehadkan operasinya dengan pengurangan 85 peratus di seluruh rangkaian penerbangannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tetapi akan terus memastikan kelancaran penerbangan penting domestik dan antarabangsa serta pergerakan kargo.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini, kumpulan itu telah memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan penumpang dan kakitangannya.

“Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami terus memainkan peranan memastikan kelancaran hubungan bagi Malaysia bersama-sama dengan Firefly dan MASwings menerusi penerbangan komersial dan carter yang terhad malahan sejak PKP 1.0,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Izham berkata, bermula April tahun lepas, kumpulan itu telah melaksanakan lebih 350 penerbangan menyelamat dan penghantaran pulang, menggunakan pesawat A380, A350, A330 dan B737 Malaysia Airlines, manakala MABkargo mengendalikan lebih daripada 1,600 penerbangan penumpang-kepada-kargo (P2C) sejak Mac 2020, mengangkut lebih 30,000 tan barangan bantuan di rangkaian pengangkut globalnya bagi memastikan rantaian bekalan global dikekalkan.

Menurutnya, memandangkan impak sekatan perjalanan ke atas perjalanan pelanggannya, Malaysia Airlines telah melanjutkan fleksibiliti perjalanan tempahan semulanya, dengan menawarkan kepada pelanggan kesahan tiket yang lebih lama sehingga 31 Dis, 2022 dengan perbezaan tambang sekali dan pengecualian bayaran perkhidmatan.

Pelanggan yang layak kata beliau, boleh menempah semula tiket mereka pada atau sebelum 30 Jun 2022 bagi perjalanan sehingga 31 Disember 2022.

Malaysia Airlines sebelum ini menawarkan kepada pelanggan fleksibiliti untuk menempah semula perjalanan mereka pada atau sebelum 30 Jun, 2021 bagi perjalanan sehingga 31 Dis, 2021. -Bernama

Artikel Berkaitan: