Belum ada pengesahan jumlah kuota haji tahun ini: TH

Lembaga Tabung Haji (TH) masih belum mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara bagi tahun ini. - Gambar hiasan, gambar kecil: Syed Saleh
Lembaga Tabung Haji (TH) masih belum mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara bagi tahun ini. - Gambar hiasan, gambar kecil: Syed Saleh
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) masih belum mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara bagi tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk sabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada pihaknya mengenai status ibadat haji tahun ini.

“TH akan memaklumkan sebaik sahaja keputusan rasmi diperolehi dari kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji untuk musim ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Media melaporkan TH berkemungkinan besar hanya menghantar sejumlah 4,000 bakal jemaah ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah fardu itu pada musim ini.

Bayangan berkenaan kuota itu dilaporkan disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi siaram Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada Khamis.

Dr. Zulkifli dilaporkan berkata, sehingga kini pihak TH sudah menyenaraikan 4,000 orang untuk layak menerima vaksin Covid-19 dan dijangka pergi ke Tanah Suci dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, TH telah memulakan persiapan awal sejak tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan normal baharu dalam pengendalian operasi haji sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci.

Tegas beliau, salah satu keperluan baharu yang diminta oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini adalah semua jemaah haji perlu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, dalam persedian awal kami, TH telah menyarankan kepada semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020 untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Hasil inisiatif tersebut, bakal haji dari seluruh negara telah mula menerima suntikan ini selain satu lagi suntikan wajib iaitu meningococcal sejak Mac 2021 yang lalu... Begitupun, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak,” katanya.

Antara lain yang turut ditekankan agar bakal jemaah haji bersedia daripada aspek ilmu ibadat, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani serta kewangan secukupnya bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna.