Kes rasuah Lim Guan Eng ditangguh ke 12 Julai

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu yang sepatutnya bermula pada 8 Jun di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan ke 12 Julai.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, penangguhan itu berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Azura Alwi dan pada prosiding 12 Julai nanti, pihak pendakwaan akan memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Sebelum ini, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa seramai 125 orang saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, Georgetown pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama