Pegawai masjid perlu diberi keutamaan terima vaksin

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Pegawai dan petugas masjid perlu diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana mereka juga terdedah kepada orang ramai dan jemaah yang hadir di masjid, tempat mereka ditugaskan.

“Imam, bilal dan siak ini tiada pilihan lain, mereka tetap perlu hadir bertugas seperti biasa di masjid atau surau. Mereka telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan tugasan itu.

“Ini bermakna, setiap hari mereka terdedah dengan risiko dijangkiti wabak Covid-19. Kita tahu kebanyakan imam dan bilal serta pegawai masjid terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Jadi, bayangkan kalau mereka disahkan positif (Covid-19) sudah tentu risikonya sangat tinggi dan di Pahang pula sebelum ini sudah terdapat kes membabitkan pegawai masjid yang terkena Covid-19, ” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi saranan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya menyenaraikan imam, bilal dan guru takmir sebagai petugas barisan hadapan dan diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin.

Saranan itu disuarakan Dr Zulkfili pada program bual bicara Forum Perdana Ehwal Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 924 imam, 859 bilal dan 865 siak yang bertugas di 660 masjid dan kira-kira 2,000 surau di seluruh negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pelaksanaan segera proses pemberian vaksin dapat memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan perkara ini perlu dilakukan dengan lebih sistematik.

“Kita tidak tahu sampai bila wabak akan berakhir, jadi pertimbangkan juga (pemberian vaksin) kepada pegawai masjid ini kerana mereka juga seperti petugas barisan hadapan yang lain.

"Jika mereka menerima suntikan, sekurang-kurangnya dapat melindungi mereka daripada kluster baharu yang boleh memburukkan lagi penularan wabak ini di Pahang,” katanya.