PPV OKU secara pandu lalu diwujudkan minggu depan

Rina (tiga, kanan) beramah mesra dengan OKU pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Bangunan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), pada Jumaat. - Foto Bernama
Rina (tiga, kanan) beramah mesra dengan OKU pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Bangunan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) secara pandu lalu akan diwujudkan minggu depan bagi mencepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada golongan itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, PPV pandu lalu itu akan beroperasi di satu lokasi di Lembah Klang dengan kerjasama pihak swasta melalui Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

“Ini (pandu lalu) ialah alternatif untuk memudahkan dan menyegerakan pemberian vaksin kepada komuniti OKU dengan hanya duduk di dalam kereta tanpa perlu keluar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), di sini pada Jumaat.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), kira-kira 577,000 OKU berdaftar di bawah JKM setakat ini, dan seramai 195,395 OKU telah mendaftar untuk pemvaksinan menerusi MySejahtera.

Bagi mempercepat pendaftaran OKU, Rina berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan berkaitan.

Pada masa sama, beliau berkata, kementerian melalui JKM, telah menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) kepada pihak berkaitan bagi memastikan individu dalam kumpulan sasaran itu tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin.

Menurut beliau, untuk memudahkan pendaftaran, MAB juga telah menubuhkan pusat panggilan khas di talian 03-2272 2677 yang hingga hari ini telah menerima 1,900 permohonan.

Katanya, PPV di MAB itu dijangkakan berupaya memberikan 200 vaksin setiap hari dengan penglibatan 20 sukarelawan JKM bagi membantu paramedik dan doktor yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tinjauannya di MAB yang merupakan PPV OKU pertama di negara ini, Rina berkata, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan program imunisasi di situ.

Mengikut perancangan program imunisasi negara, fasa kedua pemberian vaksin menyasarkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan OKU dalam tempoh April hingga Ogos depan. - Bernama