Covid-19: 7,748 kes baharu hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes baharu harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu menunjukkan penurunan apabila 7,748 kes dilaporkan berbanding 8,209 kes pada Khamis, dengan Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 2,612 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman sosial Twitter berkata, jumlah kumulatif kes positif setakat Jumaat ialah 603,122 kes.

Menurutnya, Kuala Lumpur mencatatkan 851 kes, diikuti Negeri Sembilan (709), Sarawak (706), Johor (446), Pulau Pinang (376), Perak (371), Sabah (287), Kelantan (286), Kedah (263) dan Melaka (234).

Sementara itu, Labuan mencatatkan 230 kes, Terengganu (203), Pahang (146), Putrajaya (20) dan Perlis (lapan).

Dalam kenyataan media pula, Dr Noor Hisham memaklumkan, daripada jumlah kes baharu itu, dua adalah kes import, manakala 7,746 melibatkan penularan dalam negara.

Selain itu, katanya, sebanyak 6,624 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatif pulih 515,571 kes, manakala kes aktif kini 84,369.

"Jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 3,182 selepas 86 kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas termasuk seorang wanita rakyat tempatan berusia 26 tahun, tanpa latar belakang penyakit," katanya.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 883 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 23 kluster baharu dikesan dengan 12 kluster membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh melibatkan komuniti, dua berkaitan keagamaan serta masing-masing satu melibatkan pendidikan tinggi dan Institusi Pendidikan Swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, kluster tempat kerja direkodkan ialah Persiaran Camellia, Jalan Sungai Bakau dan Industri Sungai Buloh di Selangor; Tapak Bina Desa Bakti (Kuala Lumpur); Industri Persiaran Bunga Tanjung Dua, Jalan Tampin-Gemas, Industri Jalan Senawang Tiga (Negeri Sembilan); Jalan Keluli Tiga (Johor); Jalan Bandar Baru (Pulau Pinang); Jalan Jelapang 2 (Perak); Jalan Tanjung Machang (Kelantan); dan Pasar Borong Jengka (Pahang).

Katanya, kluster komuniti pula ialah Bunut di Sarawak; Pulutan (Sabah); Dah Fajar dan Dah Rimba (Kedah); Alor Serdang (Terengganu); Gunung Senyum dan Jengka Dua Puluh (Pahang); manakala kluster berkaitan keagamaan ialah Taman Seremban Jaya (Negeri Sembilan) dan Jalan Alor Gajah Lama (Melaka).

"Selain itu, kluster pendidikan tinggi melibatkan Persiaran Mercu di Selangor dan kluster Institusi Pendidikan Swasta berdaftar di bawah KPM melibatkan Putra Enam Belas di Putrajaya dan Selangor," katanya. - Bernama