FAMA nafi berlaku masalah lambakan durian di Pulau Pinang

Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai kebimbangan peniaga durian akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai kebimbangan peniaga durian akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada masalah lambakan durian yang berlaku di negeri ini, malah bekalan 'raja buah' itu dilaporkan masih tidak mencukupi di pasaran.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, menerusi pemantauan pihaknya, trend pengeluaran durian semasa di Balik Pulau sedang meningkat naik dan dijangka memuncak pada minggu kedua atau ketiga Jun depan.

Menurutnya, pemantauan di peringkat ladang dan borong juga mendapati tiada lambakan durian yang berlaku ketika ini.

"Disebabkan penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' sejak 1 Jun lalu, pemborong buah dari luar Pulau Pinang tidak dapat masuk ke negeri ini berikutan memerlukan surat kebenaran untuk merentas negeri.

"Disebabkan itu, buah durian tidak dapat dijual. Namun selepas surat kebenaran dikeluarkan kepada peraih buah di luar Pulau Pinang pada hari berikutnya, hasil keluaran durian dapat diuruskan seperti biasa," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan mengenai kebimbangan peniaga durian di negeri ini yang menjangkakan akan mengalami kerugian akibat masalah pemasaran disebabkan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Sementara itu, Fama Pulau Pinang memaklumkan bahawa pihaknya sudah bertemu dan menawarkan khidmat pemasaran kepada peniaga terbabit.

"Terdapat beberapa cabang khidmat pemasaran yang disediakan FAMA, antaranya ialah melalui jualan di Pusat Segar Terkawal atau Pusat Operasi Perai untuk jualan secara terus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, buah-buahan berkenaan boleh dijual melalui portal Agrobazaar.com serta rangkaian outlet dan peruncitan di seluruh Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lambakan raja buah: Peniaga jangka rugi RM80,000