Perak tingkat sasaran 15,000 suntikan vaksin sehari

Perak meningkatkan sasaran sebanyak 15,000 suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat negeri itu setiap hari berbanding 8,000 suntikan sebelum ini. - Foto Bernama
Perak meningkatkan sasaran sebanyak 15,000 suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat negeri itu setiap hari berbanding 8,000 suntikan sebelum ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak meningkatkan sasaran sebanyak 15,000 suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat negeri ini setiap hari pada Jun berbanding 8,000 suntikan sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan sasaran itu tercapai, semua 31 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini akan diaktifkan sepenuhnya.

Beliau berkata, dengan peningkatan jumlah itu, fasa kedua program imunisasi dapat diselesaikan segera bagi membolehkan fasa ketiga dimulakan.

"Kerajaan negeri Perak memandang berat pola peningkatan kes positif Covid-19 sama ada di peringkat nasional dan negeri yang menimbulkan kebimbangan terhadap kekangan fasiliti kesihatan terutama bagi kemudahan di unit rawatan rapi (ICU).

"Menyedari tindakan proaktif mesti dilakukan bagi menghadapi kemungkinan situasi lebih buruk, kerajaan negeri meningkatkan tahap kesiapsiagaan melalui pelaksanaan lima inisiatif dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera," katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, sasaran itu juga dijangka meningkat menjelang Julai, Ogos dan September berikutan negara akan menerima lebih banyak bekalan vaksin termasuk 12 juta vaksin Sinovac pada Julai dan 25 juta vaksin Pfizer menjelang suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, Saarani berkata, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perak juga telah mengenal pasti dua lokasi bagi inisiatif PPV pandu lalu iaitu di Stadium Indera Mulia dan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini.

"Inisiatif ini dimulakan di daerah Kinta memandangkan daerah tersebut mempunyai bilangan penduduk tertinggi di Perak. PPV pandu lalu ini juga akan dilaksanakan di daerah lain secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri yakin dapat meningkatkan anggaran suntikan vaksinasi harian sebanyak 800 hingga 1,500 sehari selain mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan lebih 80 kenderaan pelbagai jenis yang dijangka mampu membawa kira-kira 1,000 orang ke PPV setiap hari.

Tambah beliau, kerajaan negeri sudah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya, Maju Perak untuk membeli terus bekalan vaksin daripada Pharmaniaga.

"Melalui inisiatif ini, mana-mana pihak secara individu atau syarikat boleh mendapatkan vaksin secara berbayar untuk diberikan kepada pekerja," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di Perak kini ialah seramai 889,680 orang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan program saringan RTK Antigen secara bersasar mengikut lokaliti hotspot penularan Covid-19 berdasarkan analisis data oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pada bulan ini.

"Saringan secara lokaliti bersasar itu akan membantu mengenal pasti mereka yang positif tetapi tidak bergejala bagi mengesan jangkitan lebih awal dan memulakan rawatan," katanya.