X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Hargai pengorbanan pekerja pembersihan

Selain berdepan risiko dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit termasuk Covid-19, pengorbanan pekerja pembersihan sebagai wira juga perlu dihargai. -Gambar hiasan
A
A

ARAU - Bergelumang dengan kekotoran dan bau busuk, selain berdepan risiko dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit termasuk Covid-19, pengorbanan pekerja pembersihan sebagai wira juga perlu dihargai.

Ketika orang ramai berada di rumah bagi menjaga keselamatan diri daripada pandemik Covid-19, pekerja pembersihan terus berkhidmat bagi memastikan masyarakat menikmati persekitaran yang bersih dan selesa walaupun ketika pandemik terus menular.

Seorang pekerja pembersihan sebuah syarikat konsesi Wilayah Utara, E-Idaman Sdn Bhd (EISB), Mohammad Fazli Mohammad Noh, 26, memberitahu Bernama, biarpun dibelenggu kerisauan apabila terpaksa bekerja ketika pandemik, dia reda bagi mencari rezeki halal selain berpuas hati apabila dapat memastikan persekitaran bersih.

“Tidak dinafikan kami juga berdepan pelbagai risiko dijangkiti bermacam penyakit termasuk Covid-19 namun saya sebaik mungkin mengikut garis panduan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika di tempat kerja termasuk menjaga kebersihan kendiri.

“Sebelum pulang ke rumah saya akan mandi dan bersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersama keluarga, saya tidak mahu membawa penyakit ketika pulang ke rumah,” kata bapa kepada dua anak itu yang keluar bekerja seawal pukul 7 pagi setiap hari bagi menyara keluarga.

Seorang lagi pekerja pembersihan EISB yang telah berkhidmat selama enam tahun, Muhamaad Raimi Rosidi, 31, pula memberitahu, penjagaan kebersihan yang sewajarnya akan membantu melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit termasuk Covid-19.

“Jika ditanya risau atau tidak, sudah pasti saya risau, namun bagi saya selagi kita patuhi prosedur operasi standard (SOP), berdoa dengan niat mencari rezeki halal, insya-ALLAH akan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat EISB Erni Nerina Awang Salleh berkata, dalam situasi kes Covid-19 yang agak tinggi ketika ini, pihaknya mengambil langkah keselamatan maksimum bagi memastikan pekerja mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Antara langkah keselamatan ialah pekerja tidak dibenarkan memegang sampah ketika mengutip sampah dari rumah ke rumah, sebaliknya mengangkat tong sampah dan meletakkan di atas lori sebelum sampah berkenaan secara automatik dimasukkan ke dalam lori.

“Pekerja juga diajar cara menjaga kebersihan kendiri dengan betul selepas bekerja,” katanya.

Erni Nerina memberitahu,semua pekerja pembersihan layak digelar sebagai wira kerana mereka sanggup berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19 demi memastikan keselesaan kepada orang ramai sepanjang masa termasuk ketika penularan pandemik.

Beliau turut berharap orang ramai menghargai pengorbanan pekerja pembersihan dengan memberi kerjasama dalam menjaga kebersihan termasuk tidak membuang pelitup muka merata-rata. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!