X

Kindly register in order to view this article
!

OKU penglihatan lega terima dos pertama vaksin

Golongan OKU penglihatan dibantu oleh kakitangan MAB melakukan pendaftaran bagi mendapatkan vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Bangunan MAB pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Lega dan puas hati. Begitulah antara reaksi penerima vaksin pada hari pertama operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, hari ini.

Rata-rata individu menyifatkan proses vaksinasi di PPV berkenaan yang dikhususkan kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan berjalan lancar, mudah dan teratur.

Berkongsi pengalaman, Mohd. Nizam Abdul Majid, 31, yang merupakan antara 200 penerima vaksin di PPV itu memberitahu, beliau berasa teruja mendapatkan suntikan dos pertama.

“Dari awal, semua berjalan lancar dan kita dipanggil mengikut masa pemberian vaksin dan diberikan taklimat sebelum disuntik.

“Proses suntikan tak lama pun, sekejap sahaja sudah selesai, memang sistematik dan teratur, tiada apa yang perlu ditakutkan,” katanya.

Beliau yang menetap di Cheras turut menggalakkan rakan-rakan OKU untuk menerima vaksin bagi menghentikanpenularan Covid-19.

Nor Amalina Hares, 31, melahirkan rasa lega selepas menerima vaksin dan merasakan ia adalah tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

“Saya faham kalau orang berasa takut dengan vaksin dan Covid-19 ini pun penyakit baharu tetapi untuk menyelamatkan negara dan rakyat, semua orang kena bekerjasama, jangan pentingkan diri. Semua orang perlu dapatkan vaksin untuk melindungi diri dan orang lain,” katanya.

Ng Soon Beng, 38, dari Petaling Jaya pula memberitahu, dia tidak perlu menunggu lama kerana proses vaksinasi sangat cepat dan teratur.

“Ini dos pertama saya, tak sakit pun. Lepas ambil vaksin rasa tenang. Semua kena ambil vaksin untuk perlindungan daripada penyakit,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun hadir ke PPV tersebut bagi meninjau proses vaksinasi.

Turut hadir, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

PPV di MAB dijangka berupaya memberikan 200 vaksin setiap hari dengan penglibatan 20 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu paramedik dan doktor bertugas. -Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!