Tragedi pusat hiburan: Bomba siasat punca kebakaran

Sayani
Sayani
A
A
A

IPOH - Bomba Perak sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang mengorbankan enam individu di sebuah pusat hiburan Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, siasatan tersebut bagaimanapun diambil alih oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO), Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.

“Bomba sedang menjalankan siasatan dalam kes itu. Punca siasatan masih belum boleh dikeluarkan dan siasatan ini diambil alih oleh FIO Ibu pejabat Putrajaya,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengenal pasti anggaran sebenar kerosakan di premis terbabit.

Jelasnya, kesemua 14 mangsa yang terlibat dipercayai pekerja dan pelanggan pusat hiburan terbabit namun, tiada perincian didedahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya telah memanggil dan mengambil keterangan pengurus premis terbabit bagi melengkapkan siasatan.

“Polis memfokuskan siasatan kepasa laporan kebakaran dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, hanya keterangan pengurus pusat hiburan sahaja baru dirakam hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bedah siasat terhadap tiga lelaki tempatan telah selesai dan bedah siasat bagi tiga warga asing akan diteruskan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kemungkinan operasi lebih masa

Sinar Harian melaporkan, enam termasuk dua wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam ditemui mati akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah, pagi semalam.

Mereka yang maut adalah tiga lelaki warga tempatan dikenali Tai Chee Kin, 37; Lau Wai Hoong, 36 dan Chooi Keng Heen, 31, sementara seorang lagi lelaki, Johirul, 26, merupakan warga Bangladesh.

Dua wanita warga Vietnam berkenaan adalah Nguyen Thi Thuy Duong, 21, dan Nguyen Thi Trang,19.

Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu membabitkan tingkat empat dan lima bangunan yang menempatkan hampir 15 bilik karaoke.