Indeks jenayah di Negeri Sembilan catat penurunan

Polis melakukan pemantuan berkala dan sekatan di kedua-dua lokasi berkenaan menggunakan batu penghalang.- Gambar hiasan
Polis melakukan pemantuan berkala dan sekatan di kedua-dua lokasi berkenaan menggunakan batu penghalang.- Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Kes indeks jenayah di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan kepada 833 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 859 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, penurunan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan orang ramai tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri selain kawalan ketat pasukan keselamatan di seluruh negeri ini.

"Kes paling tinggi direkodkan pada tahun ini ialah melibatkan kes lain-lain kecurian termasuk curi elektrik iaitu sebanyak 310 atau 44.19 peratus berbanding 215 kes bagi tempoh sama tahun lepas, manakala kes kecurian jentera berat meningkat 15 kes berbanding sembilan kes tahun lepas.

“Seremban dan Nilai merekodkan daerah tertinggi kes jenayah, bagaimanapun kesemua kes lain mencatatkan penurunan termasuk curi kereta dan motosikal,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini.

Mohamad ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. - Foto Bernama
Mohamad ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. - Foto Bernama

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada polis ada mengesan laluan tikus yang dipercayai digunakan individu untuk melalui sempadan negeri atau daerah susulan PKP, Mohamad menjelaskan, pihaknya mengenal pasti dua lokasi berkenaan iaitu di Nilai dan sempadan Jelebu/Kajang.

Bagaimanapun, pihak polis katanya, melakukan pemantuan berkala dan sekatan di kedua-dua lokasi berkenaan menggunakan batu penghalang.

“Sebelum ini tiada isu pun melibatkan jalan tikus, ia hanya berlaku pada musim raya, dua tempat itu memang kami beri tumpuan, sebenarnya jalan sudah ditutup tapi masih ada yang ceroboh, kalau kami jumpa memang kami terus ambil tindakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, sebanyak 2,875 pemeriksaan melibatkan 193 pasukan pemantauan dilaksanakan membabitkan seluruh kawasan di negeri ini susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun lepas.

Pihak polis, ujarnya sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam mengekang penularan wabak Covid-19.- Bernama