Tiga lelaki cedera terjun bangunan, elak kena cekup

A Asmadi (kiri) menunjukkan jim rami batu yang dirampas daripada suspek yang disyaki melakukan aktiviti judi di Kampung Simee, Ipoh pada Khamis.
A Asmadi (kiri) menunjukkan jim rami batu yang dirampas daripada suspek yang disyaki melakukan aktiviti judi di Kampung Simee, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Tiga lelaki cedera parah selepas bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah premis di Kampung Simee, di sini pada Khamis bagi mengelak ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, ketiga-tiga suspek mengalami kecederaan pelbagai antaranya patah pergelangan tangan, bahu, pinggang, kaki dan tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati 11 lelaki berusia 41 hingga 66 tahun disyaki melakukan aktiviti judi jenis jim rami batu di premis tersebut.

"Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sungai Senam sebaik menerima maklumat terdapat orang ramai berkumpul di premis itu.

"Kerana terkejut dengan serbuan itu, tiga suspek bertindak terjun. Mereka dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek menyewa premis berkenaan untuk menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan lalu.

"Polis merampas dua meja jim rami, 114 jim rami batu, dua dadu, 119 token dan kerusi.

"Modus operandi mendapati mereka menggunakan token dalam permainan itu sebelum ditukar dalam bentuk wang tunai selepas tamat permainan," katanya.

Artikel Berkaitan:

A Asmadi berkata, kesemua suspek yang menetap di Ipoh itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jelasnya, mereka juga dikenakan kompaun selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Kesemua tangkapan dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang, manakala seorang yang juga pemilik premis dikompaun RM25,000," katanya.