X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Negeri Sembilan kesan lembu punya tanda klinikal LSD

Bakri (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan Pasar Segar Pandu Lalu anjuran FAMA di Jalan Labu, Seremban pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Veterinar mengesan seekor lembu yang mempunyai tanda klinikal berkaitan penyakit kulit kental (LSD) yang kini melanda di beberapa negeri.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, bagaimanapun perkara tersebut belum disahkan lagi berikutan pihaknya masih lagi menunggu keputusan makmal.

Katanya, sejak 24 Mei lalu, Jabatan Veterinar di seluruh daerah telah menjalankan pemeriksaan di 82 lokasi kawasan penternakan haiwan ruminan ini.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita hanya mengesan seekor lembu di Rembau yang mempunyai tanda-tanda klinikal seperti penyakit kulit, bagaimanapun ia belum disahkan lagi, keputusan makmal juga belum diterima.

"Lembu tersebut telah pun diasingkan dengan ternakan lain, dan jika keputusan adalah positif, kita akan melupuskan lembu tersebut, namun kita berharap penyakit LSD ini tidak berlaku di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat lawatan di Pasar Segar FAMA Pandu Lalu, di Jalan Labu, dekat sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Bakri berkata, pengusaha dan penternak haiwan ruminan di negeri ini boleh dikenakan tindakan undang-undang jika menyembunyikan kes membabitkan haiwan ternakan yang menghidap penyakit LSD.

Katanya, tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM25,000 boleh dikenakan jika penternak gagal melaporkan kes tersebut ke Jabatan Veterinar Daerah.

Katanya, penternak perlu membuat laporan kepada Jabatan Veterinar Daerah dengan segera bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan, termasuk pengasingan haiwan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang urusan pergerakan membawa haiwan ternakan lembu atau kerbau daripada luar ke Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini bagi memastikan penyakit kulit kental (LSD) yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau yang dikesan berlaku di Perak dan Selangor tidak menular sehingga ke Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN:42 lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit kulit kental

ARTIKEL BERKAITAN:Tiga kes disyaki penyakit kulit kental di Kedah sedang dianalisa


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!