X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya 50 jemaah solat Jumaat, 12 untuk solat fardu di Pahang

Solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan di negeri ini dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD ketika ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifle Ali)
A
A

KUANTAN - Solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan di negeri ini dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

Keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, aktiviti selain solat Jumaat dan solat fardu masih tidak dibenarkan.

"Solat Jumaat di masjid negeri dan daerah dibenarkan dengan kehadiran 50 jemaah manakala 12 jemaah bagi solat fardu.

"Hanya 12 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat di masjid kariah dan surau yang mendapat kebenaran Jumaat dan diikuti solat Zohor manakala untuk solat fardu, 12 jemaah dibenarkan," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Zulkifle berkata, hanya solat fardu dibenarkan di surau juga dengan kehadiran 12 jemaah sahaja manakala bagi kawasan 'hotspot' jangkitan hanya empat jemaah dibenarkan.

Selain itu katanya, pegawai masjid atau surau yang bertugas dikehendaki membaca Qunut Nazilah pada solat Jumaat dan solat fardu lima waktu.

"Mereka juga dikehendaki membaca wirid selepas solat diikuti bacaan surah Yasin selepas solat Maghrib dan Subuh, bacaan surah Al-Kahfi sebelum solat Jumaat, membaca al-Quran dan membaca taslim atau tarhim 15 minit sebelum azan.

"Bagi solat subuh, bacaan al-Quran, taslim atau tarhim perlu diperdengarkan menggunakan pembesar suara supaya didengari kariah.

"Selain itu pihak masjid atau surau juga diminta menunaikan solat hajat setiap kali selepas solat Maghrib,"katanya.

Tambah beliau, umat Islam di negeri ini digalakkan memperbanyakkan doa dan berzikir mohon perlindungan daripada wabak Covid-19.

"Jemaah yang hadir hanya dalam kalangan ahli kariah dan mereka yang dikenalpasti tidak bergejala yang menerima jemputan dan telah menerima vaksin perlu diberi keutamaan manakala bagi yang bukan warganegara tidak dibenarkan.

"JAIP akan membuat pemantauan dan tindakan akan diambil terhadap masjid dan surau yang gagal mematuhi SOP ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!