X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kerajaan perlu adakan perbincangan dengan pembangkang

Gunaraj
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengadakan perbincangan menyeluruh bersama barisan pimpinan parti pembangkang bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, walaupun Parlimen tidak dapat bersidang pada masa ini, kerajaan perlu memainkan peranan dengan melibatkan pemimpin pembangkang secara terus supaya dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung krisis ini.

Beliau berkata, perbincangan penting bagi menerima pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

"Ketika ini, kerajaan dilihat gagal mengawal krisis ini dengan baik. Pandemik Covid-19 melibatkan kesihatan dan keselamatan awam yang memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak tanpa mengira fahaman politik," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memutuskan melaksanakan 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh MKN.

Dalam pada itu, Gunaraj berkata, kerajaan perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan khususnya dalam keadaan mencabar ini.

"Kerajaan hari ini seperti melepaskan batuk di tangga dan tiada arah tuju jelas dalam mengawal pandemik ini yang semakin meruncing," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!