X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja domestik termasuk warga asing kini wajib carum Perkeso

Mohammed Azman
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Semua pekerja domestik yang bekerja dengan individu tanpa melibatkan aktiviti perdagangan, perniagaan atau profesion di negara ini diwajibkan mempunyai perlindungan keselamatan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuatkuasa 1 Jun 2021.

Ia termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang turut diwajibkan bagi pekerja berstatus pemastautin tetap, pemastautin sementara dan warganegara asing.

Pekerjaan domestik antaranya membabitkan pembantu rumah, pemandu peribadi, tukang kebun, pengawal peribadi, pengawal keselamatan rumah kediaman, pengasuh atau penjaga orang sakit, pelayan dan ndividu yang diambil bekerja di kediaman persendirian.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, seramai 104,400 pekerja domestik membabitkan 15,000 pekerja berstatus warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 pekerja warga asing dijangka menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Menurutnya, pendaftaran majikan dan pekerja bagi perlindungan itu boleh dibuat mulai 16 Jun 2021 melalui portal ASSIST.

“Pekerja domestik berstatus warganegara, pemastautin tetap dan pemastautin sementara akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800.

“Bagi pekerja domestik warga asing pula, mereka akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4 sahaja,” katanya pada sidang akhbar secara maya di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun ujar Mohammed Azman, hanya mereka yang mempunyai dokumen perjalanan sah serta memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk bekerja di Malaysia sahaja layak menerima manfaat ini.

Jelas beliau, pekerja domestik yang layak mendapat manfaat di bawah Akta 800 ialah mereka yang berumur dari 18 hingga 60 tahun Kecuali bagi pekerja yang berumur 57 tahun dan ke atas yang tidak pernah mencarum di bawah itu.

“Kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan dan pekerja domestik pula bergantung kepada gaji bulanan seseorang pekerja domestik.

“KSM dan Perkeso percaya, peluasan liputan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja domestik ini juga akan dapat meringankan beban kewangan majikan dan pekerja domestik sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada pekerja,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!