PKR terus desak Parlimen segera bersidang

Wan Azizah
Wan Azizah
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi gesaan agar Parlimen segera bersidang bagi membolehkan isu berkaitan rakyat dalam tempoh pandemik ini segera diselesaikan.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana sehingga kini perkara yang berbangkit itu belum menunjukkan penyelesaian yang mendasar oleh kerajaaan Perikatan Nasional (PN).

"Sudah hampir setengah tahun Parlimen tidak bersidang sejak sesi yang berakhir pada 15 Disember tahun lepas.

"Walaupun satu kenyataan istana pada Mac tahun ini bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengizinkan Parlimen bersidang, tetapi ia kekal ditutup oleh pentadbiran atas alasan darurat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan Ke-15 (Wanita) yang berlangsung secara maya pada Jumaat.

Jelasnya, disebabkan Parlimen tidak bersidang menyebabkan isu-isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas.

"Isu ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumahtangga, anak-anak dan isteri maut di tangan pengasuh dan suami, isu pendidikan kita juga terus menjadi tumpuan tetapi dilihat tiada tanda-tanda penyelesaian diambil," katanya.

Kongres Nasional Keadilan Ke-15 (Wanita) yang berlangsung pada Jumaat dilaksanakan secara maya sepenuhnya susulan Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus menjadi persidangan yang pertama kali diadakan sedemikian sepanjang penubuhan parti berkenaan yang kini menginjak usia 22 tahun.