RUU Profesion Guaman Syarie Wilayah Persekutuan dibentang Mac ini

Mujahid - Foto Bernama
Mujahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie Wilayah-wilayah Persekutuan akan dibentang pada persidangan Parlimen Mac ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf.

Mujahid dalam kenyataan hari ini berkata RUU berkenaan bertujuan mengawal selia profesion guaman Syarie di Wilayah Persekutuan dan usaha ke arah itu telah dibuat sejak 1995.

“Ketika ini, undang-undang yang digunakan ialah Kaedah-kaedah Peguam Syarie 1993, manakala bagi negeri-negeri pula ialah Kaedah-kaedah atau Peraturan-peraturan Peguam Syarie yang dibuat melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata ekoran ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang antara negeri, rang undang-undang itu akan menjadi model bagi penyeragaman undang-undang profesion guaman Syarie di negeri-negeri.

Beliau berharap usaha itu akan memartabatkan institusi perundangan syariah dan profesion guaman Syarie di negara ini.

“Ini akan dapat menyelaras dan menyeragamkan pelbagai bentuk undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini tertakluk kepada peruntukan dalam Perkara 76(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: