60 individu dikompaun langgar SOP PKPD

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Noor)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Noor)
A
A
A

KUANTAN - Seramai 60 individu di daerah ini dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana didapati keluar tanpa sebab yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kebanyakan individu yang dikompaun itu terdiri penunggang motosikal yang terlibat dengan aktiviti merempit.

Menurutnya, sebahagian lagi didapati gagal memberi penjelasan munasabah tujuan mereka berada di luar ketika ditahan pihak berkuasa.

"Dalam tempoh pelaksanaan PKPD sehingga Rabu, jumlah keseluruhan individu yang dikompaun seramai 98 orang.

"Sebagaimana yang semua maklum, pelaksanaan PKPD di Kuantan bermula 24 Mei hingga 6 Jun ini dan hanya boleh keluar rumah untuk urusan yang dibenarkan sahaja. Bagaimanapun kita dapati masih ada yang terus berdegil," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohamad Noor berkata, secara keseluruhannya pematuhan orang ramai terhadap SOP berada pada tahap 98 peratus ketika ini.

"Saya amat berharap agar ia dapat ditingkatkan dan menyeru orang ramai untuk terus mematuhi SOP bagi membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang agak membimbangkan ketika ini.

“Ibu bapa juga diminta lebih bertanggungjawab memantau aktiviti anak-anak dengan memastikan mereka berada di rumah dan tidak keluar tanpa tujuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, sejak perlaksanaan PKPD, kadar jenayah di daerah ini terkawal dan menunjukkan penurunan kira-kira 20 peratus.

"Bagaimanapun masih terdapat kes kes curi dan pecah rumah dilaporkan dalam tempoh itu," katanya.