Kerajaan digesa percepat imuniti berkelompok

Wan Azizah ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan Ke-15 (Wanita) yang berlangsung secara maya pada Jumaat.
Wan Azizah ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan Ke-15 (Wanita) yang berlangsung secara maya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dijangka pulih daripada krisis Covid-19 apabila 75 peratus atau lebih rakyat menerima suntikan vaksin.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan digesa mempercepatkan imuniti berkelompok.

Jelasnya, meskipun pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini, namun proses memberi suntikan vaksin masih lagi perlahan.

"Apabila (program vaksinasi) telah mencapai imuniti (iaitu) 75 peratus atau lebih rakyat kita diberi vaksin, Insya-ALLAH Malaysia akan keluar dan pulih daripada krisis pandemik ini.

"Saya melihat mesej bahawa di United Kingdom (UK) tiada kematian direkodkan dalam tempoh yang lama (kerana sebahagian besar rakyat mereka telah menerima vaksin).

"Apabila (UK) sudah sampai imuniti berkelompok, mereka sudah boleh keluar tanpa menggunakan pelitup muka dan boleh bergerak seperti sebelum dilanda Covid-19 tetapi dalam masa sama mereka tetap berhati-hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan Ke-15 (Wanita) yang berlangsung secara maya pada Jumaat.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut menggesa supaya kerajaan segera mencari jalan penyelesaian untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, dengan cara menurunkan kadar jangkitan dan kes positif harian berupaya memulihkan kembali ekonomi yang terjejas teruk ketika ini.