Maqis rampas 25,000 kg kubis bulat dari China

Maqis Selangor merampas kobis bulat seberat 25,000 kg diimport dari China kerana dipercayai mempunyai serangga perosak.
Maqis Selangor merampas kobis bulat seberat 25,000 kg diimport dari China kerana dipercayai mempunyai serangga perosak.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas kobis bulat seberat 25,000 kilogram (kg) dari China dipercayai mempunyai serangga perosak (Plutella xylotella Linn) pada Jumaat.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, serangga perosak itu ditemui selepas pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa Maqis.

"Kobis bulat yang cuba dibawa masuk dari negara China tersebut dipercayai mempunyai lebih dari seekor serangga perosak di setiap kobis yang diimport.

"Beberapa sampel telah diambil dan masih dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai perosak.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, menjadi keutamaan Maqis untuk sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi menjamin setiap keluaran pertanian terbabit tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.