Kongres Nasional PKR pertama kali berlangsung secara maya

Kongres Nasional PKR 2020 berlangsung secara maya selama tiga hari bermula hari ini. - Gambar fail
Kongres Nasional PKR 2020 berlangsung secara maya selama tiga hari bermula hari ini. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2020 yang berlangsung selama tiga hari membuka tirai persidangannya hari ini secara maya sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ia sekali gus menjadi persidangan yang pertama kali diadakan sedemikian sepanjang penubuhan parti berkenaan yang kini menginjak usia 22 tahun.

Kongres tahunan ke-15 berkenaan dimulai dengan persidangan Wanita dengan ucapan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Ia kemudian disusuli persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Sabtu dan ucapan dasar oleh Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Kedua-dua persidangan Wanita dan AMK juga akan mengadakan pemilihan 50 perwakilan setiap sayap untuk ke Kongres Nasional.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dijangka menyampaikan ucapan dasar pada Ahad iaitu hari terakhir kongres tahunan berkenaan berlangsung.

Anwar dalam ucapan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya semalam bersempena dengan kongres itu menyifatkan persidangan kali ini unik memandangkan ia berlangsung sepenuhnya dalam talian.

“Saya berdoa kepada ALLAH, mudah-mudahkan kita berkongres dalam keadaan baik dan selamat serta (mendapat) penyertaan yang membanggakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kongres berkenaan yang akan disertai seramai 2,400 perwakilan dan pimpinan PKR menerusi aplikasi Zoom dari kediaman masing-masing, sebelum ini dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Selangor secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal dan juga secara maya.

Namun, disebabkan pelaksanaan PKP dan disusuli dengan Sekatan Pergerakan Penuh selama 14 hari bermula Selasa lepas yang dilaksanakan bertujuan melandaikan keluk Covid-19, kongres berkenaan terpaksa diubah format kepada secara dalam talian sepenuhnya. - Bernama