Qabil harap FEI longgarkan syarat ke Olimpik

Mohd Qabil
Mohd Qabil
A
A
A

ATLET ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil berharap pihak Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) dapat memberikan kelonggaran kepadanya bagi mendapatkan Sijil Kelayakan (COE) untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung mulai 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Menurut Qabil Ambak, berdasarkan kepada situasi semasa, dia kini berdepan kesukaran untuk kerana perlu berada di Eropah dan bertanding bagi sebelum menerima COE berkenaan.

Justeru menurutnya, pihak FEI juga diharap dapat membantu dengan memberitahu pertandingan mana yang perlu disertainya bagi melayakkannya menerima sijil berkenaan.

“Dalam hal ini ada banyak halangannya. Lagi pun, saya baru sahaja dapat berita bahawa saya layak ke Olimpik pada sebelah pagi tadi (semalam). Namun, saya masih perlu mendapatkan COE daripada pertandingan yang saya sertai sebelum ke Sukan Olimpik.

“Masalahnya sekarang, dengan Covid-19, saya berdepan halangan untuk fly ke luar negara dan jika dapat ke luar negara pun, saya tidak tahu pertandingan mana yang perlu saya sertai,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Qabil Ambak layak ke Sukan Olimpik Tokyo hasil kejayaannya berada pada kedudukan ketiga bagi acara dressage dalam kelompok Kumpulan Asia dan Oceania berdasarkan kepada 10 kejohanan kelayakan yang telah disertainya setakat ini.

Tambah Qabil Ambak, dia juga menunggu maklum balas daripada pihak FEI berhubung perkara berkenaan kerana selain kesuntukan masa, dia juga perlu menyelesaikan beberapa proses jika perlu ke Eropah bagi menyertai pertandingan di sana bagi mendapatkan COE berkenaan.

“Saya tengah tunggu jawapan daripada FEI mengenai perkara ini. Seperti kita tahu sekarang semua kena ada surat kebenaran tak boleh pergi ke negara luar dan saya juga tak boleh terus bertanding.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga kesuntukan masa ditambah dengan situasi Covid-19 ketika ini yang juga memerlukan saya mendapat suntikan vaksin.

“Oleh itu harapan saya agar pihak FEI dapat memerikan kelonggaran atau menggunakan kaedah lain contohnya seperti melihat kepada ranking sedia ada untuk layak beraksi di Olimpik nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat melihat dan memantau perkara berkenaan.

Menurut Mohamad Norza, kejayaan Qabil Ambak disifatkan sebagai satu sejarah baharu dalam arena sukan negara berikutan ia adalah kali pertama atlet sukan ekuestrian negara berjaya mara ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Sebelum ini, peluang Qabil Ambak untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 terjejas kerana tidak dapat sertai beberapa kejohanan untuk mengumpul beberapa mata yang diperlukan untuk ke Olimpik.

“Mungkin dengan penarikan diri beberapa atlet ekuestrian berikutan pandemik Covid-19, ketika ini secara tidak langsung telah membuatkan namanya kembali tersenarai sebagai salah seorang atlet sukan ekuestrian di temasya berkenaan.

“Saya sempat menghubungi Qabil Ambak dan dia memaklumkan gembira kerana layak ke Olimpik dan akan melakukan persiapan; namun saya tetap mengingatkannya untuk melihat isu vaksinasi termasuk kudanya sekali dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.