Vietnam bimbang ancaman Harimau Malaya

Nguyen Van Toan
Nguyen Van Toan
A
A
A

VIETNAM tidak akan memandang rendah keupayaan Harimau Malaya menjelang perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 11 Jun ini.

Penyerang Vietnam, Nguyen Van Toan berkata, Harimau Malaya dilihat berada pada tahap berbeza selepas melakukan beberapa perubahan dengan membawa masuk ramai pemain kacukan dan menambah dua pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan.

"Saya rasa mereka (Malaysia) telah menjadi pasukan lebih bagus dengan tambahan beberapa pemain naturalisasi. Selepas menonton aksi mereka, kami sedar mereka sudah semakin kuat.

"Namun, pasukan kami berada pada tahap keyakinan terbaik untuk menghadapi cabaran daripada Malaysia," katanya seperti dipetik daripada portal berita Vietnam, Thanh Nien.

Vietnam telah menewaskan Harimau Malaya 1-0 dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional My Dinh pada 10 Oktober 2019 yang lalu dan bertekad untuk meneruskan rentak kemenangan sekali gus mengukuhkan tempat di kedudukan teratas kumpulan G.

Malaysia mengharungi baki kempen kelayakan kali ini dengan diperkuatkan kehadiran dua pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula selain Mohamadou Sumareh yang sudah menunjukkan kemampuannya sejak dinaturalisasi pada 2018 yang lalu.

Malah, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu juga mendapat khidmat beberapa pemain kacukan seperti Junior Eldstal, Dominic Tan dan penampilan pertama buat pemain yang beraksi di kelab Liga Denmark, FC Midtjylland, Dion Cools.

Artikel Berkaitan: