Semakin sengit cabaran, semakin kuat semangat Hamilton

No Image Caption
A
A
A

CABARAN yang semakin sengit menjadi pembakar semangat kepada juara dunia bertahan Formula Satu (F1), Lewis Hamilton untuk mengejar kejuaraan kali kelapannya, musim ini.

Bercakap mengenai Grand Prix (GP) Azerbaijan di sirkit Baku City, pelumba berusia 36 tahun itu berkata, musim kali ini merupakan yang paling mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan, membuatkan setiap dan kesemua ahli pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 Team berusaha dengan lebih baik lagi.

Beliau yang kini empat mata di belakang Max Verstappen dari Red Bull yang mendahului pungutan mata keseluruhan dengan 105 mata selepas enam perlumbaan, manakala Mercedes di belakang satu mata di belakang Red Bull (149 mata) dalam kategori pengeluar, Hamilton berkata persediaan kini lebih menyeluruh daripada sebelum ini, bagi mengembalikan penguasaan.

“Bukannya kami perlu menghadapi cabaran, tetapi kami dipaksa untuk hadapi cabaran. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pakej yang kami ada, kami mempunyai beberapa peluang, tetapi tahun ini kami berlumba menentang Red Bull, yang tentunya mempunyai kereta yang akan memenangi perlumbaan dunia, mereka lakukan kesemuanya dengan betul dan kami tidak.

“Jadi kami perlu bersama, tanpa meninggalkan satu benda pun. Proses itu ialah bekerja sebagai satu pasukan, kami menang dan kalah sebagai satu pasukan, tiada yang berubah di sini. Kami tentunya arahkan semuanya lebih daripada sebelum ini dan saya sukakannya,” katanya dalam sidang media secara maya bersama media Malaysia, hari ini.

Hamilton kini menyamai rekod bekas pelumba Ferari dan Mercedes Michael Schumacher, sebagai pelumba F1 paling berjaya dengan memenangi kejuaraan dunianya ketujuh dalam musim terganggu pandemik tahun lepas.

Pasukan yang dikuasakan Petronas itu, telah mendominasi kejuaraan itu untuk hampir keseluruhan dekad yang lepas, memenangi tujuh gelaran pengeluar (pasukan) terbaik sejak 2014, dengan Hamilton menjuarainya enam kali dan Nico Rosberg memenanginya pada tahun 2016.

Bagaimanapun pasukan ‘Silver Arrows’ itu kini berhadapan cabaran lebih sengit daripada pesaingnya iaitu Red Bull Racing, Ferari dan McLaren, dengan tinggal 18 pusingan lagi, di mana Hamilton anggap sebagai menarik kerana, “semuanya melakukan tugas mereka dengan baik, tanpa mengetahui apa yang akan terjadi.”

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai persaraan Hamilton berkata, pandemik Covid-19 menjadi satu sebab beliau menyambung kariernya.

“Saya tiada sebarang jawapan sekarang ini. Saya rasa jika bebas Covid-19, kadar kerja mungkin amat tinggi, dan ia memendekkan karier saya. Ketika ini, saya mempunyai masa untuk fokus pada tubuh dan minda, memberikan tempoh lebih lama untuk karier saya.

“Saya rasa, kami akan hadapi tahun demi tahun dan nilaikannya. Saya tidak nampak sebarang sebab untuk berhenti melakukan apa yang anda sukakan jika secara berterusan dicabar... Saya rasa saya semakin bertambah baik setiap tahun, jadi bila saya berhenti lakukannya, tentunya ia masa untuk saya berhenti,” katanya.