Didakwa tipu bekal pekerja asing

Tertuduh ketika dibawa keluar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, terhadap tuduhan menawarkan pembekalan lima pekerja asing yang tidak wujud, kira-kira dua tahun lalu.

Abdul Rahim Mohamad Ibrahim, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mempedaya Joyce Tsee Chin Chin, 30, dengan menawarkan urusan pembekalan pekerja asing yang tidak wujud hingga mendorong mangsa membuat bayaran cek berjumlah RM14,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Old Town Bangunan AEON Bandaraya dan wang terbabit didakwa ditunaikan tertuduh dalam akaun Public Bank miliknya pada 1 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin meminta mahkamah memberikan jaminan RM8,000 manakala tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu jaminan rendah dibenarkan kerana anak guamnya tidak lagi bekerja selain atas faktor usia.

Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula 8 April ini untuk serahan dokumen.