Nelayan asing menyamar nelayan tempatan

V.Pannir Selvan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian hasil tangkapan yang dirampas susulan penahan bot nelayan asing bersama dua tekong dan 20 awak-awak warga Vietnam, hari ini.
V.Pannir Selvan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian hasil tangkapan yang dirampas susulan penahan bot nelayan asing bersama dua tekong dan 20 awak-awak warga Vietnam, hari ini.
A
A
A

ROMPIN - Dua bot nelayan asing yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan ditahan ketika menangkap ikan di perairan negeri ini kira-kira 38 batu nautika dari Tanjung Gemok di sini, petang semalam.

Susulan penahan bot terbabit kira-kira jam 3 petang itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) turut menahan dua tekong dan 20 awak-awak warga Vietnam berusia antara 18 hingga 52 tahun.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi), Kepten Maritim V.Pannir Selvan berkata, ketika operasi rondaan dilakukan di kawasan terbabit, anggotanya mengesan dua bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati nombor pendaftaran digunakan milik bot tempatan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan, kita menemui dan merampas hasil tangkapan (ikan campur) dianggarkan seberat hampir dua tan dipercayai diperoleh dalam perairan Malaysia dan akan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi.

“Hasil rampasan termasuk dua bot berkenaan dianggarkan bernilai mencecah RM2 juta,” katanya, hari ini.

V.Pannir Selvan berkata, semua 22 nelayan warga Vietnam itu ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga hari ini, Maritim Malaysia Pahang melakukan hampir 217 pemeriksaan dan enam tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Justeru orang ramai disaran memberi kerjasama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345,” katanya.