‘Bincang dengan setiap bank henti proses kebankrapan saya’

No Image Caption
A
A
A

[SIRI 4] SATU kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar. Menerusi CTOS, saya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa saya ada 5 pinjaman atas nama saya dan jumlah hutang saya sudah mencecah RM271,000. Dalam tempoh 13 tahun sejak saya membuat pinjaman, hutang saya sudah bertambah lebih daripada 140 kali ganda gaji bulanan saya!

Walaupun saya belum lagi diisytiharkan muflis, salah sebuah bank yang telah meminjamkan wang kepada saya sudah pun memulakan proses kebankrapan terhadap saya.

Atas nasihat CTOS, langkah terbaik ialah untuk berbincang dengan setiap bank dan mencari jalan penyelesaian tentang hutang saya. Menurut CTOS, mungkin ada program pembayaran balik yang akan membuka jalan untuk saya menyelesaikan hutang dan menghentikan proses kebankrapan itu.

Sekarang, bank yang telah meminjamkan saya RM134,000 menjual pinjaman itu kepada agensi pengutipan hutang. Selalunya apabila sesebuah bank tidak menerima bayaran balik untuk tempoh masa yang panjang, mereka akan menjual pinjaman tertentu kepada agensi pengutipan wang.

Dengan cara ini, bank mendapat balik sebahagian daripada wang yang telah dipinjamkan, dan pengutip hutang pula akan mendapat wang apabila peminjam akhirnya cuba menyelesaikan hutang itu. Jadi, memandangkan pinjaman saya telah dijual, saya tidak boleh berurusan dengan pihak bank lagi dan terpaksa berbincang secara terus dengan pengutip hutang.

Pada masa ia dijual, nilai pinjaman saya sudah meningkat kepada RM221,000 berbanding nilai asal RM134,000. Dalam perjumpaan saya yang pertama dengan pengutip hutang, mereka menawarkan diskaun atas jumlah hutang saya, jadi hutang saya menyusut menjadi RM78,000. Tetapi memandangkan saya masih tidak dapat bayar balik wang sebanyak itu, saya terus cuba berunding dengan mereka.

Akhirnya, kami bersetuju menyelesaikan hutang itu pada nilai RM37,000. Sebelum ini, pengutip hutang itu menawarkan pelan bayaran bulanan sebanyak RM250 untuk jumlah pinjaman sebanyak RM50,000. Tapi, mujurlah saya mencapai persetujuan untuk membayar hutang tersebut secara sekali bayar dan sebab itulah pengutip hutang bersetuju menerima jumlah pembayaran yang lebih rendah.

Atas nasihat CTOS, saya memohon bantuan AKPK untuk satu lagi pinjaman peribadi berjumlah RM8,000 yang telah saya ambil daripada satu bank yang lain. Jumlah pinjaman itu bertambah menjadi RM15,000. AKPK menasihatkan saya menyertai program pengurusan hutang mereka dan menstrukturkan semula pinjaman saya supaya saya mampu membuat bayaran balik bulanan dalam jumlah yang lebih kecil. Saya masih menunggu keputusan bank sama ada mereka bersetuju mengurangkan jumlah pinjaman itu.

Artikel Berkaitan:

Sudah 10 tahun lamanya saya hidup dalam kebimbangan, takut dijejak peminjam wang, dan selalu berasa tertekan memikirkan hutang yang tak mampu saya bayar. Akibatnya saya tak dapat mengambil pinjaman untuk membeli rumah malah langsung tidak memiliki akaun bank.

Tapi sekarang saya sudah langsaikan hutang-hutang tertentu dan saya ada rancangan untuk membayar balik hutang-hutang lain. Saya rasa jauh lebih lega sekarang. Saya dah dapat buka akaun bank, ini sangat memudahkan kerana kini saya boleh membuat transaksi pembayaran secara dalam talian. Akhirnya kini saya boleh teruskan kehidupan saya dengan lebih tenang.

Jangan lupa ikuti bahagian seterusnya esok.

* Multiply ialah satu platform dalam talian yang menyajikan maklumat yang mudah difahami tentang topik kewangan peribadi. Multiply, satu inisiatif bukan untung oleh Creador Foundation membawakan anda isi kandungan yang percuma dan neutral, hasil daripada kajian teliti yang telah kami jalankan.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Bagaimana saya menyelamatkan diri daripada menjadi muflis'

‘Apabila tiada pekerjaan, saya tidak mampu bayar pinjaman’

‘Saya tak sedar jumlah hutang saya terus bertambah’

‘Bincang dengan setiap bank henti proses kebankrapan saya’