Covid-19: KDN perbaiki proses kemasukan banduan, pendatang tanpa izin

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

SEMENYIH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperbaiki proses kemasukan banduan dan pendatang tanpa izin, bagi mengurangkan penularan kes Covid-19 dalam kalangan penghuni di penjara dan depot Imigresen, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata sehingga kini, kerajaan bertindak memastikan mana-mana banduan dan pendatang tanpa izin diperiksa dahulu sebelum diletakkan di pusat tahanan sementara bagi mengelakkan penularan wabak itu.

“Kerajaan sedang melihat bagaimana cara untuk memastikan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, misalnya jika lokap berdekatan menghubungi pusat tahanan sementara untuk menempatkan penghuninya, kami akan memastikan keputusan ujian RTK antigen boleh diperolehi dalam masa 15 hingga 20 minit sahaja.

“Kalau ada diantara mereka yang didapati positif pula, kami akan mengasingkan mereka yang positif di tempat kuarantin,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke depot imigresen sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara Eco Millenium, Beranang, dekat sini, pada Khamis.

Hamzah berkata, pihaknya juga sedang melihat kepada perancangan menambah baik pusat tahanan imigresen, khususya daripada segi fasiliti.

“Penambahbaikan itu termasuk bangunan-bangunan ditambah dengan kawat berduri, bagi mengelakkan tahanan ini daripada meloloskan diri,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pada masa sama mempertimbangkan untuk menambah jumlah pusat tahanan sementara, seluruh negara.

“Sebelum ini kerajaan merancang untuk mempunyai 11 pusat tahanan sementara, namun buat masa ini hanya ada enam sahaja sudah beroperasi, manakala empat pusat tahanan imigresen setakat ini adalah mencukupi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hamzah lagi, sehingga kini pusat tahanan sementara seluruh negara, berhasil mengurangkan kes penularan Covid-19 di penjara dan depot Imigresen.

“Daripada rekod menunjukkan seluruh penjara hanya ada 48 sahaja positif Covid-19 seluruh negara. Manakala di depot Imigresen hanya 30 individu sahaja, tetapi daripada angka itu masing-masing 100 individu diletakkan sebagai PUI (Individu Dalam Siasatan),” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad. - Bernama