Muhyiddin sama macam Najib: Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemerintahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sama sahaja seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu menggunakan wang untuk membeli sokongan.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, bezanya Muhyiddin belum mencuri wang tetapi menggunakan jawatannya dalam kerajaan supaya mendapat sokongan.

“Ya, memang kita dapati apabila Muhyiddin ambil alih, kita beri masa kepadanya untuk tunjukkan apa caranya. Kita dapati bahawa caranya sama dengan Najib iaitu gunakan wang untuk beli sokongan, beri jawatan dengan gaji tinggi pada siapa saja yang sokong,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian menerusi platform Zoom bersama kepimpinan Pejuang disiarkan secara langsung di Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Khamis.

Dalam pada itu, pengasas Pejuang tersebut berkata, jika Pejuang tidak dibenarkan untuk didaftar, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menjadi lebih berat sebelah sekiranya hanya pihak kerajaan yang boleh bertanding.

Menurutnya, perkembangan berkenaan adalah sama seperti ketika Najib membatalkan penyertaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sekarang ini ada kemungkinan mereka nak tentukan dalam PRU hanya mereka boleh bertanding dan dapat kemenangan. Ini 'haram' sebab bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan: