X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Cadang warta kawasan sensitif sebagai tadahan air

Keadaan air di Lata Y, Sungai Rek, Kuala Krai seakan 'teh beng' tular di laman sosial pada Rabu.
A
A

KUALA KRAI - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) bercadang mewartakan setiap kawasan di Hutan Simpan Sungai Rek di sini yang sensitif atau keadaan airnya yang mudah tercemar akibat aktiviti perhutanan, sebagai kawasan tadahan air.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, ini merupakan sebagai langkah pihaknya untuk mengelakkan berlakunya pencemaran air di sungai berkenaan, dan perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

“Saya juga dah bincang dengan pegawai-pegawai JPNK untuk membuat kajian semula di kawasan Sungai Rek, seperti di kawasan yang kita jangka ada tandak air, kita akan warta kawasan sensitif macam ini sebagai tadahan air,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini pada Khamis.

Beliau mengulas berhubung sebuah rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam, memaparkan keadaan air sungai di Lata Y, Sungai Rek, yang keruh seakan warna 'teh susu', dipercayai akibat aktiviti perhutanan di kawasan hutan simpan kekal tersebut.

Mengulas lanjut Abdul Khalim berkata, keadaan air keruh itu berlaku kemungkinan susulan hujan lebat yang melanda semalam dan kebiasaannya, ia akan kembali pulih seperti sedia kala selepas cuaca beransur baik.

“Kedudukan Lata Y ini adalah dalam tanah kerajaan dan sejak dari 2013 lagi, di atas kawasan itu telah ada kelulusan untuk dijadikan kawasan ladang getah (TLC) serta kelulusan EIA (Laporan Impak Alam Sekitar).

“Justeru, dalam semakan kita, pelesen atau syarikat telah memenuhi semua syarat-syarat (EIA). Pelesen turut mengikut piawaian buffer zon iaitu ada 50 meter penjarakan dari tepi sungai, malah iniasitif pelesen itu sendiri menambah satu rantai (10 meter) lagi dari buffer zone,” tambahnya.

Bagaimanapun, Abdul Khalim berkata, buat masa ini, beliau telah mengarahkan syarikat terbabit untuk menanam pokok kekacang sebagai penutup bumi di kawasan terbuka, bagi mengurangkan kesan aktiviti perhutanan mereka daripada menjejaskan air di sungai berkenaan.

Sementara itu ketika dihubungi, Pejabat Menteri Besar Kelantan telah mengambil maklum serta mengarahkan JPNK untuk melakukan siasatan lanjut berhubung isu berkenaan.

Seorang penduduk Kampung Batu Mengkebang, yang ingin dikenali sebagai Ismail, 50, berharap, pihak berkuasa menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin, kerana aliran sungai di Lata Y merupakan sumber air utama melalui sistem tandak, kepada lebih 1,000 penduduk di sekitar kampung berkenaan.

"Dahulu keadaan air di Lata Y sangat bersih, berwarna biru serta jernih sehingga boleh nampak ikan-ikan dalam sungai tetapi kini air semakin keruh dan keindahannya semakin tercemar," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Mengkebang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!