Lelaki bunuh penyu hijau dipenjara setahun, denda RM25,000

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dikenakan denda RM25,000 selepas mengaku bersalah kerana terbabit dalam pembunuhan penyu hijau di kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Pulau Bohey Dulang, Semporna.

Tertuduh Malson Alkusani, 33, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Awang Kerisnada Awang Mahmuddi melalui prosiding yang dilaksanakan secara maya di Mahkamah Sesyen Tawau, pada Khamis.

Menurut pertuduhan, dalam kejadian pada 19 Mei lalu kira-kira jam 1 petang, Unit Penguatkuasa Taman Marin Tun Sakaran, Semporna mendapati tertuduh yang berada di dalam kawasan taman tersebut sedang mengumpul tujuh spesimen plastron penyu dan 14 sisik marginal penyu di dalam tong drum besi.

Pemeriksaan lanjut di lokasi berjaya menemui alat menangkap penyu iaitu tombak dan sabit yang dipercayai digunakan untuk menangkap serta membunuh penyu tersebut.

Laporan analisis pakar spesimen mengesahkan tujuh plastron dan 14 sisik marginal adalah daripada spesies penyu hijau (Chelonia mydas) iaitu salah satu spesies penyu terancam di perairan Sabah dan baharu sahaja ditangkap serta diproses.

Oleh itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selama satu tahun penjara serta denda dan jika gagal membayar denda, tambahan tempoh penjara dikenakan selama dua tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 48 (1)(C), Enakmen Taman-Taman Sabah, 1984 (Pindaan 2007) dan pendaakwaan itu dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Operasi) Taman-Taman Sabah, Maipol Spait.

Artikel Berkaitan: