Maqis sumbang rampasan daging sejuk beku kepada zoo, penjara

Noriah (kanan) menyerahkan daging kerbau sejuk beku kepada wakil Zoo Taiping, Mazwin Marjan pada Rabu.
Noriah (kanan) menyerahkan daging kerbau sejuk beku kepada wakil Zoo Taiping, Mazwin Marjan pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyumbangkan 414 karton daging sejuk beku seberat 6,620 kilogram (kg) kepada Zoo Taiping dan Penjara Marang, Terengganu.

Pengarahnya, Noriah Dahlan berkata, daripada jumlah itu, 165 karton (1,650 kg) telah diserahkan kepada Zoo Taiping untuk dijadikan makanan haiwan di zoo tersebut pada Rabu.

Menurutnya, daging kerbau sejuk beku dari India itu juga disumbangkan ke Penjara Marang sebagai sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program pemulihan banduan di penjara berkenaan pada Khamis.

"Sebanyak 249 karton melibatkan 4,970 kg daging kerbau sejuk beku ini adalah hasil rampasan yang telah dilucuthakkan membabitkan kes dari Mac tahun ini.

"Sumbangan ini adalah bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan haiwan di Zoo Taiping serta sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program pemulihan banduan di Penjara Marang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kesemua daging kerbau sejuk beku itu didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan dari negara India melalui Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini.

"Sumbangan keluaran pertanian ini adalah salah satu daripada cara pelupusan selepas disita dan dilucuthakkan mengikut tatacara perundangan oleh Maqis di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Kita prihatin untuk membantu keperluan agensi yang memerlukannya serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia bagi memastikan isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal," katanya.

Noriah menambah, inisiatif itu juga diharap dapat membantu Zoo Taiping dan Penjara Marang dari segi bekalan makanan haiwan dan ternakan ikan keli agar dapat menampung bekalan makanan sedia ada.