Pejuang pertikai keabsahan kerajaan PN

Sidang media kepimpinan Pejuang pada Khamis.
Sidang media kepimpinan Pejuang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) agar menyatakan dengan jelas adakah mereka masih menyokong kerajaan PN atau sebaliknya.

Presiden (Penaja) Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi membuktikan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai keabsahan untuk memerintah negara.

"Saya ingat ketika ini oleh sebab Parlimen tidak dibenarkan bersidang maka tidak ada sebarang bukti untuk menyatakan bahawa kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keabsahan memerintah negara.

"Oleh kerana itu, saya ingin mendesak semua ahli Parlimen PN dan BN menyatakan dengan jelas adakah mereka masih menyokong kerajaan ini atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media atas talian menerusi platform Zoom bersama kepimpinan Pejuang yang disiarkan secara langsung di Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, tanpa Parlimen maka ahli-ahli Parlimen tidak boleh membuat sebarang undian mengenai keabsahan kerajaan dan Perdana Menteri.

"Yang tinggal kepada kita hanyalah dengan cara pengumuman oleh ahli-ahli Parlimen berkaitan iaitu (ahli Parlimen) dari PN dan BN untuk menyatakan adakah mereka masih menyokong (kerajaan) atau tidak.

"Kalau ini tidak dapat dilakukan maka kita kita sangat sangsi dengan keabsahan yang memberi hak kepada Muhyiddin terus memegang jawatan Perdana Menteri dan PN terus memerintah negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Mei lalu, kerajaan dipersoal sama ada akan membenarkan Malaysia menjadi satu-satunya negara yang melumpuhkan sistem Parlimen bagi menangani krisis pandemik atau membuat sesuatu bagi mengembalikan hak demokrasi.

Malah, kerajaan boleh menguatkuasakan ordinan tertentu ketika penguatkuasaan Proklamasi Darurat bagi membolehkan Parlimen bersidang menumpukan perhatian terhadap penyelesaian krisis kesihatan serta kemelut ekonomi.

Ini kerana, perkara yang paling penting adalah membenarkan ahli Parlimen membuat semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan ketika penularan Covid-19 semakin memburuk.

Justeru, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai kaedah termasuk membolehkan Parlimen bersidang secara maya serta menggunakan platform tertentu seperti aplikasi ZOOM yang turut menyediakan fungsi undi.

Hal itu dinyatakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang kecewa dengan sikap pegawai kerajaan dan anggota kabinet termasuk Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengenai kelumpuhan Parlimen.