Pahang catat 135 kes baharu Covid-19

Dr Bahari Tok Muda
Dr Bahari Tok Muda
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan 135 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif di negeri ini mencecah 10,139 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, daripada kes baharu yang didaftarkan di Pahang, 122 kes merupakan warganegara dan 13 kes melibatkan warganegara asing.

Menurutnya, tujuh daerah mencatatkan pertambahan kes baharu dengan kes tertinggi dicatatkan di daerah Jerantut (72 kes) diikuti Kuantan (40 kes), Lipis (10 kes), Bentong (9 kes), Cameron Highlands (2 kes) dan masing-masing satu kes di Maran dan Bera.

"Agak mendukacitakan apabila terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 68 kes.

"Kes kematian ke-67 dan 68 ini melibatkan pesakit berusia 84 dan 66 tahun dari Felda Jengka 4, Maran dan Taman Pelindung Jaya, Kuantan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Dr Bahari berkata, terdapat lapan kluster mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kluster Jalan Syawal, Jerantut (tambahan 25 kes), Kluster Taman Teratai, Lipis (tambahan 10 kes) dan Kluster Kampung Pagi, Jerantut (tambahan 9 kes).

"Pertambahan kes baharu turut melibatkan Kluster Kampung Baru Bentong (tambahan 5 kes), Kluster Kampung Paya Teh, Jerantut (tambahan 5 kes), Kluster Sungai Isap Perdana, Kuantan (tambahan 4 kes), Kluster Industri IM 14, Kuantan (tambahan 1 kes) dan Kluster DTI Kemayan, Bera (tambahan 1 kes).

"Terdapat tiga kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Industri Gebeng, Kuantan, Kluster Batu Hitam, Kuantan dan Kluster Kampung Mat Daling, Jerantut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sehingga jam 12 tengahari pada Khamis, sebanyak 1,301 kes positif Covid-19 sedang dirawat di lapan hospital dan di enam Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini manakala 150 kes berada dalam pengawasan di rumah.

"Daripada jumlah itu, 25 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan (17 kes) dan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh (8 kes) dengan 16 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan," ujarnya.