Bebas hanya dua jam

Mohd Adli
Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU – Dua lelaki tahanan polis yang bertindak melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang dari mahkamah hanya bebas kira-kira dua jam sahaja sebelum mereka berjaya ditangkap semula oleh pasukan polis.

Kejadian melibatkan dua orang kena tuduh (OKT) itu berlaku pada jam 10.50 pagi di tepi jalan Kampung Temala, Pengkalan Berangan, Marang pada Khamis.

Sebelum itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu membawa kedua-dua suspek bersama dua OKT lain ke Mahkamah Majistret Marang pada jam 8.30 pagi bagi pertuduhan dan sambung reman.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Ajil, dua OKT itu yang dikawal di kerusi belakang van terbabit bertindak menyerang anggota sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 10.45 pagi.

“Dalam pergelutan itu, salah seorang suspek telah membuka pintu belakang van polis dan kedua-duanya yang berusia 38 dan 39 tahun dari Kuala Berang itu melompat keluar lalu melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit di tepi jalan.

“Dua anggota pengiring telah mengejar kedua-dua mereka namun gagal. Dalam kejadian ini dua anggota pengiring OKT turut mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan kepada pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Adli berkata, seramai 80 pegawai, anggota polis digerakkan dengan bantuan 50 orang awam bagi mencari kedua-dua OKT yang melarikan diri itu dengan keadaan masih bergari dan memakai baju lokap berwarna oren.

Katanya, operasi mengesan OKT bermula jam 11.20 pagi dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan dari IPD Hulu Terengganu, IPD Marang, pasukan JSJ dan unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pencarian di sekitar ladang sawit di Kampung Temala, Marang akhirnya berjaya menemui suspek pertama pada jam 12 tengahari pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Sejam kemudian, kita menemui OKT kedua lebih kurang tiga kilometer dari tempat dia melarikan diri. Kedua-dua mereka yang ditahan pada 30 Mei lalu kerana kesalahan mencuri di bawa ke Balai Polis Ajil untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang